(BERSIH HATI DARI SEGALA TUJUAN SELAIN KEREDHAAN ALLAH
S.W.T.)
Alfaqieh Abul-Laits berkata: “Telah menerangkan
kepada kami Muhammad bin Alfadhel bin Ahnaf berkata: “Telah menerang kepada
kami Muhammad bin Ja’far Alkaraabisi ia berkata : “Telah menerang kepada kami
Ibrahim bin Yusuf ia berkata: “telah menerang kepada kami Ismail bin Ja’far,
dari Amr Maula Almuththalib dari Ashim dan Muhammad bin Labied berkata: Nabi
Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Yang sangat saya kuatirkan atas
kamu ialah syirik yang terkecil.” Sahabat bertanya: “Ya Rasullullah, apakah
syirik yang kecil itu?” Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: “Riyaa. Pada hari
pembalasan kelak Allah s.w.t. berkata kepada mereka : “Pergilah kamu kepada
orang-orang yang dahulu kamu beramal kerana mereka didunia, lihatlah disana
kalau-kalau kamu mendapatkan kebaikan dari mereka.”
Riyaa ialah beramal untuk dilihat orang, dipuji
dilihat orang, Abul Laits berkata: “Dikatakan pada mereka sedemikian itu kerana
amal perbuatan mereka ketika didunia secara tipuan, maka dibalas
demikian.”Firman Allah s.w.t.: Yukhaa di’unnallah wahuwa khaa di’uhum.
Allah s.w.t. membalas cara tipuan mereka itu dan
membatalkan semua amal perbuatan mereka itu, kerana kamu dahulu tidak beramal
untukKu maka pembalasan amalmu itu tidak ada padaKu, sebab tiap amal yang tidak
ikhlas kepada Allah s.w.t., maka tidak sampai kepadaNya, kerana itu tiap amal
yang dikerjakan tidak kerana Allah s.w.t. dan kerana lainnya, maka Allah s.w.t.
lepas tangan daripadanya.
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu
Hurairah r.a. berkata, dari Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Allah s.w.t. telah berfirman: ‘ Akulah yang terkaya dari semua sekutu, Aku
tidak berhajat kepada amal yang dipersekutukan, maka siapa beramal lalu
mempersekutukan kepada selainKu, maka Aku lepas bebas dari amal itu.”
Hadis ini sebagai dalil bahawa Allah s.w.t. tidak
menerima amal kecuali yang ikhlas kepada Allah s.w.t., maka jika tidak ikhlas,
tidak diterima dan tidak ada pahalanya, bahkan tempatnya tetap dalam neraka
jahannam, sebagaimana tersebut dalam ayat 18 surah Al-Israa:’Man kaana yuriidul
aa-jilat ajjalna lahu fiha maa nasyaa’u liman nuridu, tsumma ja’alna lahu jahannam
yash laaha madzmuman mad-hura (18). Wa man aradal akhirota wa sa’a laha sa’yaha
wa huwa mu’minun, fa ulaa’ika kaana sa’yuhum masy-kuura. (19). Kullan numiddu
haa ulaa’i, wahaa ulaa’i athaa’i robbika, wama kaana athaa’u robbika mah-dzuura
(20).
Bermaksud: Siapa yang menginginkan dunia dengan
amalnya, Kami berikan kepadanya dari kekayaan dunia bagi siapa Kami kehendaki
kebinasaannya, kemudian Kami masukkan ia kedalam neraka jahannam sebagai orang
terhina dan terusir jauh dari rahmat Allah (18). Dan siapa yang menginginkan
akhirat dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas, dan disertai iman,
maka usaha amal mereka itulah yang terpuji (diterima) (19). Masing-masing dari
dua golongan Kami beri rezki, dan pemberian Tuhanmu tidak terhalang, baik
terhadap mukmin, kafir, berbakti maupun lacur (20).
Dari ayat keterangan ini nyatalah bahawa yang beramal
kerana Allah s.w.t. maka akan diterima sedang yang beramal tidak kerana Allah
s.w.t. tidak akan diterima dan hanya lelah dan susah semata-mata, sebagimana
dinyatakan dalam hadis: Abu Hurairah r.a berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w.
telah bersabda: “Rubba sha’imin laisa lahu hadhdhun min shaumihi illal ju’a wal
athsy wa rubba qaai’min laisa lahu hadhdhun min qiyamihi illal-sahar wannashabu’.
Maksudnya: ‘Adakalanya orang puasa dan tidak mendapat apa-apa dari puasanya
kecuali lapar dan haus, dan ada kalanya orang bangun malam dan tidak mendapat
apa-apa dari bangunnya kecuali tidak tidur semata-mata, yakni tidak mendapat
pahala dari amalnya’.
Seorang ahli hikmah berkata: “Contoh orang yang
beramal dengan riyaa’ atau sum’ah itu bagaikan orang yang keluar kepasar dan
mengisi poketnya dengan batu, sehinggakan orang melihat poketnya semua berasa
kagum dan berkata: “Alangkah penuhnya poket uang orang itu.”, tetapi sebenarnya
dia sama sekali tidak berguna sebab tidak dapat dibeli apa-apa tetapi hanya
sekadar mendapat pujian orang sahaja. Demikianlah pula orang yang beramal
dengan riyaa’ sum’ah, tidak ada pahalanya diakhirat kelak.” Sebagaimana firman
Allah s.w.t.: “Wa qadimna ila amilu min faja’alnahu habaa’an mantsuura.”yang
bermaksud: “Dan Kami periksa semua amal perbuatan mereka, lalu Kami jadikan
debu yang berhamburan.”
Waki’ meriwayatkan dari Sufyan Atstsauri dari orang
yang mendengar Mujahid berkata: “Seorang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan
berkata: Ya Rasullullah, saya bersedekah mengharapkan kerihdaan Allah s.w.t.
dan ingin juga disebut dengan baik.” Maka turunlah ayat 111 surah al-Kahfi:
“Faman kaana yarju liqaa’a rabbihi fal ya’mal amalan shaliha, walaa yusyrik bi ‘ibaadati
rabbihi ahada’. yang bermaksud: “Maka siapa yang benar-benar mengharap akan
bertemu dengan Tuhannya, maka hendaklah ia berbuat amal yang baik, dan jangan
mempersekutukan Allah dalam semua ibadatnya dengan sesiapa.”
Siapa yang takut tanpa hati-hati, maka tidak berguna
takut itu, seperti berkata: “Saya takut kepada siksaan Allah s.w.t. tetapi
tidak berhati-hati dari dosa, maka tidak berguna takutnya itu. Siapa yang
mengharapkan tanpa amal seperti mengharapkan pahala dari Allah s.w.t. tetapi
tidak beramal, maka tidak berguna harapannya itu. Siapa yang niat tanpa
perlaksanaan, niat yang berbuat kebaikan tetapi tidak melaksanakan akan tidak
berguna niatnya itu. Siapa berdoa tanpa usaha, seperti berdoa semoga mendapat
taufiq untuk kebaikan, tetapi tidak berusaha untuk kebaikan. Siapa yang
beristigfar tanpa penyesalan, maka tidak akan berguna istigfarnya itu. Siapa
yang tidak menyesuaikan lahir dengan batiniahnya, seperti lahirnya untuk
berbuat kebaikan tetapi hati tidak ikhlas. Siapa yang amal tanpa ikhlas maka
tidak akan berguna amal perbuatannya.
Abu Hurairah berkata: Nabi Muhammad s.a.w bersabda
yang bermaksud: “Akan keluar pada akhir zaman suatu kaum (golongan) yang
mencari dunia dengan menjual agama, memakai pakaian bulu domba, lidah mereka
lebih manis dari madu sedang hati mereka bagaikan serigala. Allah akan
berfirman kepada mereka: Apakah terhadapKu mereka bermain-main dan melawan,
dengan kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan kepada mereka fitnah ujian
bala sehingga seorang yang berakal tenang akan bingung.”
Waki’ meriwayatkan dari Sufyan dari Habib dari Abi
Salih berkata: Seorang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata: “Ya,
Rasullullah, saya berbuat suatu amal yang saya sembunyikan kemudian diketahui
orang, maka saya merasa senang, apakah masih mendapat pahala? Jawab Nabi
Muhammad s.a.w.: “Ya. bagimu pahala rahasia dan terang.”
Abul-Laits berkata: “Diketahui orang sehingga ditiru,
maka ia mendapat pahala kerana beramal dan mendapat pahala kerana ditiru
orang.” Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Siapa yang memberi
contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru
perbuatannya hingga hari qiamat, dan siapa yang memberi contoh kejahatan maka
ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari
qiamat.”
Abdullah bin Almubarak meriwayatkan dari Abubakar bin
Maryam dari Dhomiroh dari Abu Habib berkata: Rasullullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud: “Adakalanya para Malaikat membawa amal seorang hamba dan mereka
anggap banyak dan mereka menyanjungnya sehingga sampai kehadirat Allah, maka
Allah berfirman kepada mereka: Kamu hanya mencatat amal hambaku, sedang Aku
mengawasi isi dan niat hatinya, hambaku ini tidak ikhlas kepadaKu dan amalnya,
maka catatlah dalam sijjin, dan ada kalanya membawa naik amal hamba lalu mereka
menganggap sedikit dan kecil sehingga sampai kehadapan Allah, maka Allah
berfirman kepada para Malaikat: Kamu mencatat amal perbuatan hambaKu dan Aku
mengawasi isi hati dan niatnya, orang ini benar-benar ikhlas dalam amal
perbuatannya kepadaKu, catatlah amalnya itu dalam illiyin.”
Dengan ini nyatalah bahawa amal yang sedikit dengan
ikhlas lebih baik daripada yang banyak jika tidak ikhlas, sebab amal yang
diterima oleh Allah s.w.t. dilipat gandakan pahalanya. Adapun yang tidak ikhlas
maka tidak ada pahalanya, bahkan tempatnya dalam neraka jahannam.
Abu-Laits berkata: Saya telah diceritakan oleh
beberapa ulama dengan sanad mereka yang langsung dari Uqbah bin Muslim dari
Samir Al-ash-bahi berkata: “Bahwa ia ketika masuk ke kota Madinah melihat
seorang yang dikerumuni oleh orang ramai, lalu saya bertanya: “Siapakah orang
itu?” Jawab orang-orang: “Itu Abu Hurairah r.a.”. Maka saya mendekati
kepadanya dan ketika tiada lagi orang ramai disitu, saya pun bertanya
kepadanya: “Saya tuntut engkau demi Allah, ceritakan kepadaku satu hadis yang
telah kau dengar dan kau ingat langsung daripada Rasullullah s.a.w.” Abu
Hurairah r.a. berkata: “Duduklah, akan saya ceritakan kepadamu hadis yang
saya sendiri mendengar dari Rasullullah s.a.w. yang waktu itu tiada orang lain
bersama kami.”
Kemudian Abu Hurairah r.a. pun menarik nafas yang
berat lalu pingsan, kemudian setelah sedar dari pingsan itu dia pun mengusapkan
mukanya sambil berkata: “Akan aku ceritakan hadist Rasullullah s.a.w. .”,
kemudian dia menarik nafas yang berat lagi dan pingsan semula. Agak lama
kemudian dia sedar dan mengusapkan mukanya lalu berkata : Rasullullah s.a.w.
telah bersabda: “Apabila hari kiamat kelak maka Allah s.w.t. akan menghukum
diantara semua makhluk dan semua ummat bertekuk lutut, dan pertama yang
dipanggil ialah orang yang mengerti al-Quran, dan orang yang mati fisabilillah,
dan orang kaya.
Maka Allah s.w.t. menanyakan kepada orang yang pandai
al-Quran: Tidakkah Aku telah mengajar kepadamu apa yang Aku turunkan kepada
utusanKu? Jawab orang itu: Benar, ya Tuhanku. lalu kau berbuat apa terhadap apa
yang telah engkau ketahui itu? Jawabnya: Saya telah mempelajarinya diwaktu
malam dan mengerjakannya diwaktu siang. Firman Allah s.w.t. : Dusta kau. Lalu
malaikat juga berkata: Dusta kau, sebaliknya kau hanya ingin disebut qari, ahli
dalam al-Quran, dan sudah disebut yang demikian itu.
Lalu dipanggil orang kaya dan ditanya: Engkau berbuat
apa terhadap harta yang Aku berikan kepada kamu? Jawabnya: ‘Saya telah
menggunakan untuk membantu kaum keluarga dan bersedekah’. Dijawab Allah s.w.t.
:Dusta kau. Para malaikat pun berkata: Dusta kau, kau berbuat begitu hanya karena
ingin disebut sebagai seorang dermawan, dan sudah terkenal sedemikian. Lalu
dihadapkan orang yang mati berhijad fisabilillah lalu ditanya: Kenapa kau
terbunuh? Jawabnya: Saya telah berperang untuk menegakkan agamaMu sehingga
terbunuh. Allah s.w.t. berfirman: Dusta engkau. Dan malaikat juga berkata:
Dusta engkau, kau hanya ingin disebut sebagai seorang pahlawan yang gagah
berani dan sudah disebut sedemikian.
Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. memukul lututku (pahaku)
sambil bersabda yang bermaksud: “Hai Abu Hurairah, ketiga orang itulah yang
pertama-tama yang dibakar dalam api neraka pada hari kiamat.” Kemudian berita
itu sampai kepada Mu’awiyah maka ia menangis dan berkata: “Benar sabda Allah
s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.“. Kemudian ia membaca ayat 15-16 surah Hud yang
berbunyi: ‘Man kaana yuridul haya wazinataha nuwaffi ilaihim a’maalahum fiha
wahum fiha laa yubkhosun. Ulaa’ikal ladzina laisa lahum fil aakhiroti illannar
wa habitha maa shona’u fiha wabaa thiun maa kaanuu ya’malun’. Yang bermaksud: ‘Siapa yang niat dengan
amalnya hanya semata-mata keduniaan dan keindahannya maka Kami akan memberi
kepada mereka semua amalnya dan mereka didunia tidak akan dikurangi (dirugikan)’.
Mereka itulah yang tidak mendapat diakhirat kecuali api neraka, dan gugur semua
amal mereka itu, bahkan palsu semua perbuatan mereka itu’.
Abdullah bin Haanif Al-inthoki berkata: Pada hari
kiamat bila seseorang mengharap amalnya kepada Allah s.w.t. maka dijawab:
Tidakkah Kami telah membayar kontan pahalamu, tidakkah Kami telah memberi
tempat padamu dalam tiap majlis. tidakkah Kami telah terangkat sebagai
pimpinan/ketua, tidakkah telah Kami murah (mudah)kan jual belimu (yakni selalu
dapat potongan harga jika membeli sesuatu) dan seterusnya.
Seorang hakim telah berkata: Orang yang ikhlas ialah
orang yang menyembunyikan perbuatan kebaikannya sebagaimana menyembunyikan
kejahatannya. Pendapat yang lain pula berbunyi: Puncak ikhlas itu ialah tidak
ingin pujian orang. Dzinnun Almishri ketika ditanya: “Bilakah orang diketahui
bahwa ia termasuk pilihan Allah s.w.t.“? Jawabnya: “Jika tidak meninggalkan
istirehat dan dapat memberikan apa yang ada, dan tidak menginginkan kedudukan
dan tidak mengharapkan pujian tahu celaan orang. (Yakni dipuji tidak merasa
besar dan dicela tidak merasa kecil)
Ady bin Hatim Aththa’i berkata Rasullullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud: ‘Pada hari kiamat beberapa orang yang diperintahkan
untuk membawa ke syurga dan setelah melihat segala keindahannya serta merasakan
bau harumnya maka diperintahkan untuk dijauhkan daripadanya karena mereka tidak
ada bagian didalamnya, maka kembali mereka dengan penjelasan yang tidak ada
tara bandingnya, sehingga mereka berkata: Ya Tuhan, andaikan Kau masukkan kami
kedalam neraka sebelum Kau perlihatkan kami pahala yang Kau sediakan bagi para
waliMu. Jawab Allah: Sengaja Aku berbuat itu kepada kamu, kamu dahulu bila
bersendirian berbuat dosa-dosa besar, dan bila dimuka orang-orang berlagak alim
sopan dan taat, kamu hanya riya’, memperlihatkan kebaikan kepada manusia, dan
tidak takut kepadaKu, kamu mengagungkan orang dan tidak mengagungkan Aku, maka
kini Aku merasakan kepada kamu kepedihan siksaKu, disamping Aku haramkan atas
kamu kebesaran pahalaKu’.
Abdullah bin Abbas r.a. berkata Rasullullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud: Ketika Allah telah melengkapi syurga ‘Adnin dengan
segala keindahan yang belum dilihat oleh mata, dan terdengar oleh telinga dan
tergerak dalam hati (khayal) manusia, maka Allah menyuruhnya supaya berkata-kata,
maka syurga itu berkata : Qad aflahal mu’minum (3x) (Sungguh untung orang yang
beriman/percaya) Inni haram ‘ala kulli bakhil wa munafiq wa muraa’i (3x) (Saya
diharamkan untuk dimasuki oleh tiap orang yang bakhil dan orang munafiq dan
orang yang berbuat riyaa).
Ali bin Abi Thaalib r.a. berkata: “Tanda orang yang
riyaa’ itu ada empat yakni 1.malas jika bersendirian, dan 2.tangkas jika dimuka
orang, dan 3.menambah amalnya jika dipuji, dan 4.mengurangi jika dicela.
Syaqiq bin Ibrahim berkata: “Benteng amal itu ada tiga
iaitu Harus merasa bahwa itu hidayat dan taufiq dari Allah s.w.t., Harus niat
untuk mendapat ridha Allah s.w.t. untuk mematahkan hawa nafsu dan Harus
mengharap pahala dari Allah s.w.t. untuk menghilangkan rasa tamak, rakus riyaa’
dan dengan ketiga ini amal dapat ikhlas kepada Allah s.w.t. Mengharap ridha
Allah s.w.t. supaya tiap amal hanya untuk yang diridhai Allah s.w.t. supaya
tidak beramal terdorong oleh hawa nafsu, dan apabila amal itu kerana mengharap
pahala dari Allah s.w.t. maka tidak hirau terhadap pujian atau celaan orang.
Seorang hakim berkata: “Seharusnya seorang yang
beramal itu belajar adab dari pengembala kambing.” Ketika ditanya bagaimanakah?
Jawabnya: “Pengembala itu jika sembahyang ditengah-tengah kambingnya,
sekali-kali tidak mengharap pujian dari kambing-kambingnya, demikianlah seorang
yang beramal harus tidak menghiraukan apakah dilihat orang atau tidak.”
Seorang hakim berkata: “Untuk keselamatan suatu amal
berhajat pada empat macam iaitu pertama: Ilmu pengetahuan, sebab amal tanpa
ilmu lebih banyak salah daripada benarnya,kedua Niat, sebab tiap amal amat
terpenting pada niatnya, sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. : “Sesungguhnya
semua amal tergantung pada niat dan yang dianggap bagi tiap orang apa yang ia
niatkan.” dan ketiga Sabar, supaya dapat melaksanakan amal itu dengan baik dan
sempurna, thuma’ninah dan tidak keburu , keempatnya ialah Tulus ikhlas, sebab
amal tidak akan diterima tanpa keikhlasan.
Haram bin Hayyan berkata: “Tiada seorang yang
menghadap kepada Allah s.w.t. akan menghadapkan hati orang-orang yang beriman
sehingga kasih dan sayang kepadanya.” Suhail bin Shalib dari ayahnya Abu
Hurairah r.a. berkata, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. bila cinta pada seseorang hamba berkata kepada
Jibril: Sesungguhnya Aku kasih kepada fulan, maka kau kasih kepadanya, lalu
Jibril berkata kepada semua penduduk langit: Sesungguhnya Tuhanmu kasih kepada
fulan, maka kamu harus kasih kepadanya, setelah dikasihi oleh ahli langit, maka
disebarkan rasa kasih diatas bumi, dan sebaliknya jika Allah s.w.t. murka
(benci) pada seorang hamba, demikian juga adanya.”
Syaqiq bin Ibrahim ditanya: “Bagaimana dapat
mengetahui bahwa seorang yang soleh, sebab orang mengatakan bahawa saya orang
solihin?” Jawab Syaqiq: “Tunjukkan rahasiamu pada orang-orang soleh, maka bila
mereka rela pada itu, berarti kau soleh. Kedua, tawarkan dunia ini pada hatimu,
maka bila ia menolak, itulah tandanya kau soleh dan ketiga, tawarkan maut
kepada dirimu, maka jika ia berani dan mnegharap tanda bahawa kau orang yang
soleh, bila tidak maka bukan soleh, dan bila ada ketiga-tiganya padamu, maka
mintalah selalu kepada Allah s.w.t. jangan sampai memasukkan riyaa’ dalam semua
amalmu supaya tidak rosak amalmu.”
Tsabit Albunani dari Anas bin Malik r.a. berkata bahwa Nabi Muhammad s.a.w.
bersabda yang bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang mukmin? Jawab sahabat:
“Allah s.w.t. dan Rasullullahlah yang lebih mengetahui.” Baginda s.a.w.
bersabda: “Seorang mukmin iaitu orang yang tidak mati sehingga Allah memenuhi
pendengarannya dengan apa yang ia suka dan andaikan seorang berbuat taat
didalam rumah yang berlapis tujuh puluh dan pada tiap rumah ada pintu besi,
niscaya Allah akan menampakkan amal itu sehingga dibicarakan orang dan
dilebih-lebihkan.” Ditanya oleh para sahabat: “Ya Rasulullah, bagaimana
dilebih-lebihkan?” Jawab Nabi Muhammad s.a.w. : Seorang mukmin suka bila
amalnya bertambah.” Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. pula bertanya: Tahukah kamu
siapa pula yang fajir (derhaka)?”. Jawab sahabat: “Allah s.w.t. dan Rasullullah
lah yang lebih mengetahui.” Bersabda Nabi Muhammad s.a.w. : “Yaitu orang yang
tidak mati sehingga Allah s.w.t. memenuhi pendengarannya dengan apa yang tidak
disukai, dan andaikan seorang berbuat maksiat didalam rumah yang berlapis tujuh
puluh rumah dan masing-masing berpintu besi, niscaya Allah s.w.t. akan
memperlihatkan pakaian amal itu sehingga dibicarakan orang dan
ditambah-tambahi.” Ketika ditanya: “Bagaimana ditambah, ya Rasullullah?’ Jawab Rasullullah
s.a.w : “Seorang fajir suka apa yang menambah durhakanya.”
Auf bin Abdullah berkata: “Orang-orang ahlil khoir
satu sama lain berpesan tiga kalimah: Siapa yang beramal untuk akhirat, maka
Allah s.w.t. akan mencukupi urusan dunianya, dan siapa yang memperbaiki
hubugannya dengan Allah s.w.t. maka Allah s.w.t. akan memperbaiki hubungannya
dengan sesama manusia, dan siapa yang memperbaiki hatinya maka Allah s.w.t.
akan memperbaiki lahirnya.”
Hamid Allafaf berkata: “Jika Allah s.w.t. akan
membinasakan seseorang, maka dihukum dengan tiga macam: Diberi ilmu tanpa amal,
Diberi bersahabat dengan orang-orang yang soleh tetapi tidak mengikuti jejak
mereka dan tidak beradap terhadap mereka serta ketiga diberi jalan untuk
berbuat taat tetapi tidak ikhlas.”
Abul-Laits berkata: “Itu semua kerana jelek niatnya
dan busuk hatinya, sebab sekiranya niatnya baik niscaya diberi manfaat dalam
ilmunya dan ikhlas dalam amalnya, dan menghargai kedudukan orang-orang soleh.”
Tambahnya lagi: “Saya telah diberitahu oleh orang yang dapat dipercayai dengan
sanadnya dari jaballah Alyahshubi berkata: “Ketika kami bersama Abdul Malik bin
Marwan dalam suatu peperangan, tiba-tiba kami bertemu dengan seseorang yang
selalu bangun malam, bahkan tidak tidur malam kecuali sebentar, selama itu kami
belum kenal padanya, kemudian kami ketahui bahwa ia adalah sahabat
Rasullullah lalu ia bercerita kepada kami bahawa ada seorang bertanya: “Ya
Rasullullah, dengan apakah mencapai keselamatan kelak?” Jawab Rasullullah
s.a.w, “Jangan menipu Allah s.w.t.” Orang bertanya lagi: “Bagaimana menipu
Allah s.w.t.?” Rasullullah s.a.w menjawab: “Yaitu mengerjakan apa yang
diperintahkan oleh Allah s.w.t., tidak kerana Allah s.w.t. dan berhati-hatilah
kamu dari riyaa kerana ia syirik terhadap Allah s.w.t.
Orang yang berbuat riyaa pada hari kiamat akan
dipanggil dimuka umum dengan empat nama: Hai kafir, hari orang lancung, hai
penipu, hai orang yang rugi, hilang semua amalmu dan batal pahalamu, maka tidak
ada bagian bagimu kini, dan mintalah pahalamu dari orang yang kamu berbuat
untuk mereka wahai penipu.” Saya bertanya lagi: “Demi Allah yang tiada Tuhan
kecuali Dia, apakah benar kau mendengar sendiri hadist ini
dari Rasullullah s.a.w.?” Jawabnya: “Demi Allah s.w.t. yang tiada Tuhan
kecuali Dia, sesungguhnya saya telah mendengar sendiri dari Rasullullah s.a.w
kecuali jika saya keliru sedikit yang tidak saya sengajakan.” Kemudian ia
membaca ayat: Innal munafaiqiina yukhadi ‘unallah wa huwa khaa di’uhum. Yang
bermaksud: Sesungguhnya orang munafiq itu akan menipu Allah padahal Allah telah
membalas tipu daya mereka’.
Abul-Laits berkata: “Siapa yang ingin mendapat pahala
amalnya di akhirat, maka harus beramal dengan ikhlas kerana Allah s.w.t. tanpa
riyaa’, kemudian melupakan amal itu supaya tidak dirusak oleh rasa ujub (bangga
diri) sebab memang menjaga taat itu lebih berat dar ipada mengerjakannya.”
Abu Bakar Alwaasithi berkata: “Menjaga kebaikan taat
itu lebih berat daripada mengerjakannya sebab ia bagaikan kaca yang cepat (mudah)
pecah dan tidak dapat ditambal atau dipatri, maka tiap amal yang dihinggapi
riyaa’ rosak dan tiap amal yang dihinggapi ujub (bangga diri) rosak. Maka
apabila seorang dapat menghilangkan rasa riyaa’ dalam amalnya harus berbuat
yang demikian, tetapi bila tidak dapat menghilangkan maka jangan sampai tidak
beramal kerana belum dapat menghilangkan riyaa’ sebaiknya ia harus tetap
beramal kemudian membaca istigfar dari pada rayaanya itu, kemudian dilain hari
Allah s.w.t. memberinya taufiq untuk ikhlas dalam amal-amal yang lain.”
Salman Alfarisi r.a. berkata: “Allah s.w.t. menambah
kekuatan orang mukmin dengan bantuan orang-orang munafiqiin dan menolong orang
munafiqin dengan doa orang-orang mukmin.”
Abu-Laits berkata: “Orang-orang berpendapat bahwa
didalam fardhu tidak dapat dimasuki riyaa’, sebab melakukan kewajiban, tetapi
sebenarnya dapat saja riyaa’ itu masuk kedalamnya.” Tambahnya lagi: “Disini ada
dua macam: Jika ia melakukan fardhu itu semata-mata kerana riyaa’ sehingga
sekiranya tidak riyaa’ tidak melakukannya maka itu munafiq sepenuhnya, termasuk
dalam golongan Innal munaafiqiina faddarkil asfali minannaar’.
( Sumber :Kitab Tanbihul Ghafilin)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar